Isnin, 16 April 2012

ProKAM 3 (Laporan Bertulis)

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 ProKAM!

Rindu ProKAM 3 tak? Nah.... jom kita imbau kembali detik-detik berharga sepanjang Program Kecemerlangan Anak-anak Melaka 3 !

1. Kem Induksi

Tarikh : 16-18 Mac 2012
Tempat : Kompleks Belia dan Sukan Ayer Keroh
Sasaran : 46 orang fasilitator

Objektif utama Kem Induksi adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pasukan fasilitator sebelum memainkan peranan sebagai penggerak program-program utama ProKAM 3 iaitu Program Bersama Anak-anak Yatim (AY), Program Bersama Sekolah Tunas Bakti (STB) dan Program Harapan Lulus (HALUS).
Antara aktiviti-aktiviti utama sepanjang Kem Induksi adalah :

  • Perbincangan modul-modul Program AY, Program STB dan Program HALUS
  • Perbincangan idea-idea baru sebagai modul, energizer dan aktiviti-aktiviti untuk perancangan masa depan UPG
  • Lumba rakit di Tasik Ayer Keroh
  • Padamkan nyalaan lilin menggunakan tangan
  • UFO
  • Perkongsian tips dari Abang Dat (Encik Muhamad Haidhir Bin Yusof), sifu pasukan trainer UPG
  • Pendulum
  • Trust Fall
  • Role Play
Semangat berpasukan, keyakinan diri, dan kemantapan sosial, fizikal, intelektual, emosi dan rohaniah sebagai seorang fasilitator sememangnya teruji sepanjang kem ini. Jadi, tahniah dan syabas para fasilitator yang hadir ! Walaupun majoriti para fasilitator pada kali ini adalah orang baru, namun kalian telah menunjukkan potensi yang cemerlang ! :)



2. Program Bersama Anak-anak Yatim Darul Aitam

Tarikh : 23-25 Mac 2012
Tempat : Universiti Multimedia Kampus Melaka
Sasaran : 17 anak yatim dari Madrasah Darul Aitam, Telok Mas

Hari pertama

Adik-adik dari Madrasah Darul Aitam telah dijemput dengan bas rasmi MMU dan tiba di perkarangan kampus MMU Melaka pada jam 4 petang.

Selesai taklimat ringkas oleh komander kem (CC), sesi ice breaking dijalankan untuk mengikat tali kemesraan antara adik-adik dan pasukan fasilitator.

Seterusnya, adik-adik diperkenalkan dengan lagu tema program untuk menyemarakkan lagi semangat mereka iaitu Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk oleh Flava.
Seronok bila teringat nyanyian adik-adik,  lagi-lagi bila dapat mikrofon ! Hehe :)

Okay. Tidak lengkaplah program andainya tiada pengisian rohaniah, bukan? Maka program diteruskan dengan sesi bacaan Yasin selepas solat Maghrib berjemaah.
*Buat pengetahuan semua, kami mewajibkan adik-adik solat berjemaah agar memenuhi salah satu elemen dalam konsep ProKAM 3 iaitu ROHANIAH. :)

Selain itu, kami juga menerapkan elemen AKADEMIK melalui kelas Matematik.
Perlaksanaan modul akademik ini telah dijalankan mengikut tahap pembelajaran adik-adik yang berbeza umur.

Hari kedua.

Dimulakan dengan solat Subuh berjemaah, adik-adik kemudiannya melakukan aerobik dan pintu Doraemon yang dikendalikan oleh saudara Nazmi (atau lebih dan hanya dikenali sebagai Nazmehhh !) dan Faiz Muazan (Bob)! 
Terima kasih atas pengendalian senaman pagi yang menarik! :)

Selepas bersarapan bersama abang dan kakak angkat (fasilitator) masing-masing, adik-adik melakukan modul Menara Impian. Modul ini menguji kreativiti mereka kerana kami hanya menyediakan kertas A4 dan pen marker. Adik-adik ditugaskan untuk membina sebuah menara dengan menggunakan sumber-sumber yang ada.

Program diteruskan lagi dengan modul akademik sebaik sahaja adik-adik menunaikan solat Zuhur berjemaah dan makan tengahari. 

Slot waktu petang pula telah diisi dengan aktiviti riadah iaitu bola sepak di padang sekuriti MMU. 
Siapa sangka, adik-adik Darul Aitam jauh lebih hebat daripada abang-abang fasilitator? Haaa saiz badan bukan ukuran! :D

Program diteruskan. Seperti biasa, adik-adik telah solat Maghrib berjemaah dan pada kali ini kami telah menjemput En. Nurul Aizam Zaini a.k.a Abang Aizam (penasihat UPG) untuk memberi tazkirah Maghrib sementara menunggu solat Isyak.
Topik yang dikupas adalah berkenaan kepentingan menuntut ilmu.
Terima kasih Abang Aizam untuk slot pengisian yang sungguh bermanfaat ! :)


Ya, aktiviti selepas solat Isyak masih merangkumi aspek akademik, iaitu kelas Matematik.
Sementara adik-adik dan para fasilitator sibuk ber-Matematik, para komiti terutamanya tuan direktor (AMSYAR) dan kakitangannya berhempas pulas untuk membuat kejutan iaitu sambutan hari lahir kepada adik-adik yang lahir pada bulan Mac !
Alhamdulillah, agenda berjaya dilakukan dengan baik sekali. Rindunya suasana masa tu ! :')


Hari ketiga.


Untuk pengetahuan semua, selain ProKAM 3, Karnival Keluarga Bahagia (KKB) anjuran Institusi Usrah juga diadakan serentak dengan Program AY. 
Justeru, setelah solat Subuh dan bersarapan, adik-adik menyertai aerobik dan acara sukaneka yang dianjurkan oleh pihak KKB. 


Sesi riadah pagi diteruskan lagi dengan modul akademik.
Memandangkan ia hari terakhir Program AY, adik-adik dengan bimbingan para fasilitator bertungkus lumus untuk melengkapkan modul yang disediakan.


Sebaik sahaja modul akademik dilengkapkan, adik-adik makan tengahari dan bersiap-siap untuk ke majlis penutup KKB. Terima kasih para komiti KKB kerana sudi menjemput kami ! :)


Dan tahniah adik-adik Darul Aitam kerana berjaya membolot hadiah untuk acara sukaneka ! :D


Program Bersama Anak-anak Yatim diakhiri dengan sesi bergambar dan para fasilitator juga telah mengiringi adik-adik pulang ke Madrasah Darul Aitam di Telok Mas.



3. Program Bersama Sekolah Tunas Bakti

Tarikh : 30 & 31 Mac 2012
Tempat : Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, Klebang
Sasaran : 134 orang pelajar STB

Hari pertama.

Para fasilitator bertolak ke Sekolah Tunas Bakti tepat jam 2.45pm.

Sebagai pengenalan, setiap fasilitator yang terlibat memperkenalkan diri kepada adik-adik STB sebelum mereka dipecahkan kepada kumpulan.

Aktiviti pertama yang dijalankan ialah ice breaking.
Setiap kumpulan melakukan permainan seperti PingPong, Charging, dan Trademark agar para fasilitator dapat mengingati nama-nama ahli kumpulan masing-masing.
Ada lebih kurang 13 orang dalam satu kumpulan. Ramai oh !


Seterusnya, sesi Treasure Hunt.
Dalam sesi ini, setiap kumpulan yang terdiri daripada adik-adik STB perlu melengkapkan tugasan-tugasan yang diberikan pada setiap checkpoint.
Walaupun ada yang mengeluh kecewa kerana tidak dapat menghabiskan kesemua checkpoint, tapi alhamdulillah adik-adik berjaya membuat tugasan dengan begitu baik !
p/s: penulis diberitahu ada yang berjaya menyelesaikan float your boat dalam masa seminit ! :O

Selepas makan malam dan solat, program diteruskan dengan sesi perkongsian bersama Abang Aizam (penasihat UPG). Terima kasih Abang Aizam kerana telah memberi motvasi kepada adik-adik di STB !
Ya, asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh, masih ada masa hadapan dan harapan untuk berjaya yang menanti :)

Aktiviti berikutnya ialah sesi ujian personaliti yang dikendalikan oleh Kaunselor MMU, Kak Mas.
Setiap pelajar STB telah diberi kertas soalan yang menentukan kecenderungan mereka.
Kak Mas kemudiannya menerangkan satu persatu kepada adik-adik, apa alternatif yang boleh mereka lakukan selepas mereka tamat tempoh penahanan.
Mengagumkan, adik-adik begitu aktif dan banyak bertanya kepada fasilitator dan Kak Mas soalan mengenai masa hadapan mereka. Semoga berjaya adik-adik !

Hari kedua.

Sesudah solat Subuh, slot senaman pagi dijalankan.
Ya, sangat hebat fasilitator Is dan rakan-rakan mengendalikan slot tersebut.
Tapi hebat lagi adik-adik STB yang mengambil alih slot selepas itu !
Lagu Lady Gaga pun boleh buat aerobik oi ! :D


Demi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Inggeris, kami menyediakan modul akademik untuk subjek Bahasa Inggeris untuk adik-adik.
Mereka diajar topik tenses dan subject-verb agreement. 
Alhamdulillah mereka cepat belajar dan sangat aktif lebih-lebih lagi apabila diberi gula-gula sebagai ganjaran!

Seterusnya, kami telah menjemput pihak Institut Kemahiran Industri Melaka (IKIM).
Penceramah telah menerangkan laluan untuk menyambung pelajaran ke IKIM.
Menurut penceramah tersebut, pemohon hanya perlu mempunyai sekurang-kurangnya sijil PMR atau SPM.
Pada dasarnya kursus yang disediakan IKIM ialah kejuruteraan.

Akhir sekali, sesi perkongsian.
Para fasilitator berkongsi pengalaman dan nasihat bersama-sama adik-adik berkenaan masa hadapan.
Satu fakta mengenai adik-adik STB. Mereka gemar menyanyi !
Mengikut pengalaman penulis sendiri, sedang sibuk saya "berceramah", ada permintaan.
"Kak jom nyanyi !" okay. 



Sebelum berangkat pulang ke kampus, kami sempat memberikan nasihat dan amanat ringkas buat adik-adik STB. Semoga mereka menjadi insan yang jauh lebih baik kelak. :)

Program berakhir pada jam 5 petang.


4. Program Harapan Lulus (HALUS)
Tarikh : 6-8 April 2012
Tempat : Universiti Multimedia Kampus Melaka
Sasaran : 100 orang pelajar dari daerah Jasin

Hari pertama.

Para pelajar dari sepuluh buah sekolah daerah Jasin telah dijemput ke kampus dengan bas rasmi MMU.
Setibanya di kampus, adik-adik HALUS mendaftar di kaunter dan seterusnya berkumpul di ITSD R001 untuk sesi pengenalan dan dibahagikan kepada kumpulan.

Selepas sesi ice breaking, adik-adik HALUS solat berjemaah, makan dan berkumpul di dewan untuk aktiviti mass energizer iaitu tikar terbang.
Dengar cerita, ada surat khabar yang terkoyak. LALALA~ :P

Sebaik sahaja ice breaking selesai, adik-adik dan para fasilitator berkongsi pengalaman dan kata-kata motivasi melalui sesi sharing moment sekaligus menamatkan aktiviti hari pertama.

Hari kedua.

Seawal jam 5.20 pagi adik-adik telah dikejutkan untuk berkumpul di masjid dan menunaikan solat Subuh berjemaah.

Pagi mereka diisi dengan aktiviti joging dari CLC Concourse ke gelanggang badminton.
Saudara Aizad dan Nazmi meneruskan slot dengan senamrobik, diikuti dengan aktiviti pendulum yang dikelolakan oleh Faiz Muazan (Bob).
Tak cukup ekstrem, Bob meneruskan slot dengan Trust Fall !
Tahniah kepada penerjun-penerjun ya ! Anda hebat ! HAHA

Program diteruskan dengan aktiviti Treasure Hunt.
Hebat sungguh adik-adik sebab berjaya melakukan tugasan-tugasan di samping perlu meminta barang amanah daripada fasilitator.
Multitasking :)

Tamat tempoh 2 jam yang diberikan, adik-adik berkumpul untuk mass energizer iaitu Hutan Terbakar.
Dengar cerita, ada yang kena denda menari tarian Hindustan. Kan? :P

Adik-adik berpecah ke dalam kumpulan masing-masing. Slot seterusnya, mereka perlu membina Menara Impian dengan menggunakan bahan-bahan yang diperoleh semasa Treasure Hunt.
Slot berlanjutan sehingga solat Maghrib.

Selesai solat Isyak, adik-adik beraksi untuk Malam Kebudayaan.
Seronok+Kelakar+Kagum dengan kreativiti adik-adik membuat persembahan.
Ada sketsa, ada nyanyian, dan macam-macam lagi !
Rasanya semua yang menonton paling tak boleh lupa aksi meniru gaya CC kan? HAHA

Malam kebudayaan menamatkan hari kedua HALUS :)

Hari ketiga.

Seperti biasa sebaik sahaja solat Subuh, adik-adik akan melakukan senaman pagi disusuli dengan sarapan.

Program kemudiannya diisi dengan slot ceramah motivasi "Aku Boleh Aku Hebat".
Semoga adik-adik lebih bersemangat untuk belajar dan masuk ke MMU. eh eh :)

Seterusnya, Sharing Moment.
Slot Sharing Moment pada kali ini sedikit berbeza kerana adik-adik perlu merangka garis masa berkaitan dengan perancangan masa hadapan mereka untuk jangka masa pendek dan panjang.

P/S : Lebih tepat lagi, HALUS diakhiri dengan permainan BISKUT (share your love). HOHO :P

HALUS tamat pada jam 12 tengahari dan ProKAM 3 diteruskan dengan acara kemuncak !


5. Majlis Penutup Program Kecemerlangan 
Anak-anak Melaka 3 


Majlis dimulakan dengan persembahan hebat Kumpulan Pancaragam Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh yang mengiringi VVIP jemputan, Encik Mohd Isa bin Jolan, Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling dari Jabatan Pelajaran Melaka.

Secara ringkas, berikut adalah agenda Majlis Penutup ProKAM 3 :

  • Bacaan doa pembuka majlis
  • Ucapan oleh Pengarah ProKAM 3, Cik Debra Allison Beaty
  • Ucapan oleh Pengarah Kanan STAD, Tuan Haji Zamzuri bin Abdul Majid
  • Tayangan montaj
  • Ucapan oleh Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling dari Jabatan Pelajaran Melaka,  Encik Mohd Isa bin Jolan
  • Penyampaian hamper dan sijil penyertaan kepada para peserta ProKAM 3
  • Penyampaian tanda penghargaan kepada  Encik Mohd Isa bin Jolan
  • Sesi bergambar
  • Jamuan
  • Bersurai

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana ProKAM 3 telah dilaksanakan dengan jayanya.

Terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Melaka, pihak STAD/SSC/FMD, senior-senior UPG, pihak penaja, adik-adik yang telah menyertai dan pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kerjasama dan sokongan padu yang kalian berikan semenjak hari pertama persediaan sehinggalah ke Majlis Penutup ProKAM 3.

Tahniah dan terima kasih juga kepada para komiti dan pasukan fasilitator yang telah berusaha keras untuk mencapai objektif utama ProKAM 3 iaitu memberi kesedaran kepada kumpulan sasaran mengenai kepentingan ilmu yang sebenarnya.

Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dariNya. InsyaAllah. :)

P/S : Si penulis ingin mohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki andai ada cacat cela dan kesalahan tatabahasa dalam penulisan. Terima kasih kepada sumber-sumber sahih yang membantu dalam bahan pengisian. Bahasa jiwa bangsa. Assalamualaikum dan semoga berjumpa lagi (;


Nurul Syafiqah Roslan
Setiausaha Program
Program Kecemerlangan Anak-Anak Melaka 3
University Peers Group 2011/2012



Featured Post

Knowledge Sharing: Menguruskan Sponsorship