Isnin, 23 April 2012

BELAJAR JADI FASILITATOR (MENGENALI SIAPA ITU FASILITATOR)

Penulisan ini diambil dari blog IQ Class Management (iqclassmanagement.blogspot.com). Semoga penulisan ini dapat membantu sahabat-sahabat lebih memahami konsep fasilitator dan memberi seribu satu manfaat buat kita semua.


Oleh:
Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Pengarah Urusan IQ Class Management
Perunding Utama Latihan dan Motivasi
Penasihat Facilitating and Development Team (FaDélaT)



Ramai dikalangan kita pada hari ini mungkin pernah mendengar perkataan fasilitator. Ia merupakan perkataan yang berasal dari perkataan Inggeris iaitu ‘facilitator’, ia merupakan perkataan yang terbit dari perkataan dasar yang berbunyi ‘facilitate’. ‘Facilitate’ bermaksud bimbing. Maka, perkataan terbitannya membawa maksud pembimbing atau orang yang membimbing. Ada juga dikalangan pengendali atau mereka yang terlibat sebagai fasilitator menyatakan maknanya sebagai pemudahcara. Walau apa pun yang dimaksudkan dengan fasilitator ini, dapat kita persetujui bahawa, kesemuanya membawa maksud yang hampir serupa iaitu pembimbing atau pemudahcara.

Fasilitator sudah tidak asing lagi. Ia amat dikenali dan sudah berada dipengetahuan umum. Bahkan, semakin hari, semakin ramai yang berminat untuk menyertai dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sebagai fasilitator. Ada fasilitator digunakan di dalam program latihan dewasa, penghuni penjara, PLKN juga program-program lain yang dianjurkan dan diselia oleh syarikat-syarikat perundingan dan latihan. Oleh kerana terlalu banyak penggunaan petugas yang dikenali sebagai fasilitator dan mempunyai permintaan yang tinggi, ada dikalangan mereka yang merasakan dan menjadikan fasilitator sebagai tugas yang mudah. Tugasnya cukup sekadar membantu dan membimbing dalam satu tempoh masa yang singkat. Selesai tugas, dapat bayaran.

Ada juga segelintir dari mereka menjadikan tugas sebagai fasilitator ini untuk mencipta nama dan kemasyhuran bahkan pendapatan yang tinggi. Kerapkali ramai yang berfikir, menjadi fasilitator adalah tugasan yang mudah untuk dilaksana dan dapat menjana pendapatan yang lumayan. Bahkan, ada juga dikalangan fasilitator merasakan tugasnya hanyalah menjaga sekelompok kumpulan dan memastikan mereka berasa gembira tanpa memikirkan kesan selepas mereka meninggalkan kumpulan tersebut. Akhirnya, etika ditinggalkan peranan utama ditolak ke tepi, yang utama adalah habuannya. Namun, bagi mereka yang mendalami dan memahami peranan sebenar fasilitator, ia bukanlah tugas yang mudah sebagaimana yang difikirkan dan diperlakukan oleh orang-orang kebanyakan.

Salah faham ini menjadikan tugasan fasilitator ini seolah-olah suatu tugas yang begitu lumayan dengan kerja yang sangat ringan. Ini adalah suatu kesilapan yang besar dan salah faham yang perlu diperbetulkan. Pengalaman hampir 11 tahun melibatkan diri di dalam dunia fasilitator menjelaskan bahawa tugas seorang fasilitator bukan sekadar mendapat hasil yang lumayan dan kerja yang ringan, bahkan lebih besar dari itu. Pastinya, kita pernah mendengar perkataan pendakwah, ejen perubah serta motivator bukan? Ya, ia amat sinonim dengan perkataan fasilitator. Ia bukanlah makna secara khususnya dari segi bahasa, tetapi tugas dan peranan mereka itu yang menjadikan ia amat sinonim dengan fasilitator.

Apabila kita bercerita tentang fasilitator, terdapat beberapa perkara utama yang perlu kita lihat serta berikan perhatian. Sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah mengungkapkan di dalam sebuah hadis tentang kewujudan hati dalam diri manusia. Jika ia baik, maka baiklah keseluruhan luarannya dan jika sebaliknya, maka ia juga akan dizahirkan segala keburukannya. Sepanjang pengalaman dan pengamatan melihat perlaksanaan program-program latihan yang dijalankan, fasilitator juga boleh disimpulkan sebagaimana hati di dalam program-program latihan. Jika fasilitator yang berada di dalamnya baik, maka keseluruhan perlaksanaan, penyampaian serta pencapaian program latihan itu juga akan menampakkan kebaikannya. Namun, jika fasilitator yang berada di dalam program latihan itu buruk dari segi peribadi dan tingkahlakunya, maka, begitulah juga kesannya kepada perlaksanaan, penyampaian serta pencapaian program latihan tersebut.

Mengetahui dan mengenali siapa itu fasilitator menjadi amat penting khususnya untuk mereka yang melaksana serta menganjurkan program-program latihan. Pastinya, semakin ramai pada hari ini memilih kerjaya dalam bidang latihan dan motivasi kerana pendapatan yang amat lumayan. Tetapi fahamilah dan hayatilah, bahawasanya, berada di dalam bidang latihan adalah suatu bidang yang berkaitan dengan pembangunan modal insan. Apabila berlaku kecuaian di dalam pemberian maklumat atau nasihat mahupun peringatan, ianya akan memberikan natijah yang amat besar buat peserta latihan pada masa akan datang.

Perbincangan di dalam penulisan ini, merupakan perbincangan yang mengkhususkan kepada bentuk peribadi fasilitator yang akan membimbing kumpulan kecil. Ia biasanya berlaku kepada kelompok pelajar sekolah atau IPT. Namun, adalah tidak mustahil ia juga boleh dilaksana kepada kelompok-kelompok lain. Oleh itu, bagi seorang fasilitator untuk kelompok kecil ini, tentulah mereka memerlukan beberapa ciri utama yang perlu dibangunkan dan dibentukkan agar ia menjadi suatu yang sebati di dalam dirinya.



USAHA ISLAH SERTA OBJEKTIF JANGKAMASA PENDEK

Untuk memulakan usaha mengenali siapa itu fasilitator, maka seorang fasilitator harus mengetahui bahawa untuk menjadi seorang fasilitator yang terbaik seharusnya, mereka ini mempunyai 2 matlamat yang jelas dalam diri. Pertama, matlamat penglibatan atau penyertaan ke dalam dunia kefasilitatoran adalah kerana datangnya niat untuk berusaha mengislahkan diri atau dalam erti kata lain ia bermaksud perubahan diri. Perubahan diri dari keadaan lemah, tidak baik kepada lebih baik dan bertambah kekuatan. Usaha pengislahan itu tidak tertakluk hanya kepada diri sendiri sahaja, bahkan juga ia akan terbias kepada orang lain juga.

Apabila usaha islah ini menjadi keperluan utama sesebagai fasilitator, pernah juga kita dengar ayat-ayat seperti, “Aku belum cukup ilmu lagi, macamana nak jadi fasilitator?”. Ingatlah kata-kata cediakiawan ini, “Jika kita hendak menunggu ilmu yang mencukupi, bilakah agaknya ilmu kita akan cukup?” Slogan yang dipegang oleh pembimbing rakan sebaya juga sesuai untuk dijadikan penilaian diri, “Perbaiki diri untuk membantu dan memperbaiki orang lain.” Slogan ini amat bertepatan dengan seorang fasilitator yang baik. Islah ini bermakna, perubahan diri sendiri secara peribadi dan juga perubahan orang lain atas usaha kita untuk memberikan nasihat dan teguran. Inilah yang dikatakan sebagai ejen kepada perubahan.

Kedua, ialah objektif jangkamasa pendek yang ditentukan oleh penganjur program latihan atau sesuatu permintaan aktiviti. Usaha untuk menjadi ejen perubahan ini menyebabkan kita perlu melalui beberapa proses kecil sebelum mencapai matlamat utama. Maka, objektif kecil dibentuk dan ini yang akan menjadi proses perjalanan seorang fasilitator dalam usaha islah yang lebih besar. Bezanya, objektif perlu dicapai dalam jangkamasa yang ditetapkan serta ia berbentuk orientasi program (program oriented) manakala, islah diri dan orang lain pula akan berlaku sepanjang masa sebagai fasilitator dan dibawa ke mana sahaja selagi mereka perlu berperanan. Ini pula dikenali sebagai orientasi misi atau ‘mission oriented’.

Keutamaan bagi seorang fasilitator adalah untuk memenuhi wawasan atau matlamat usaha islahnya kerana ia perlu ada dalam setiap tugasan sebagai fasilitator manakala memenuhi objektif jangkamasa pendek pula adalah tanggungjawab dalam melaksanaka tugasan terkini atau yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh yang demikian, segala usaha pengislahan perlu lebih tinggi kerana jika tidak, untuk mencapai objektif jangkasama pendek, pastinya seorang fasilitator itu akan mengutamakan dirinya berbanding orang lain yang natijahnya, peserta akan diabaikan dan berlakulah kecuaian kerana apa sahaja yang dilakukan hanya untuk keperluan peribadi fasilitator itu sahaja.




AKHLAK SEBAGAI TUNJANG KEPERIBADIAN



Apabila, seorang fasilitator mengutamakan dirinya berbanding orang yang dibimbing di dalam kelompok, di sinilah terpancarnya corak peribadi fasilitator yang tidak dapat diteladani bahkan akan menjadi fitnah dan timbul cakap-cakap belakang dikalangan peserta. Apabila seorang manusia memberi keutamaan kepada dirinya, maka akhlaknya akan mula menurun dan akhirnya dia akan menampakkan lebihnya keburukan. Harus diingat, apabila menjadi fasilitator, setiap tingkahlaku, kata-kata dan cara berfikir akan cuba dicontohi atau diperhati oleh setiap mereka yang dibimbingnya.

Akhlak mestilah menjadi tunjang kepada seorang fasilitator. Inilah sebenarnya peranan yang juga dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap setiap ummat baik yang Islam atau yang bukan Islam. Sehinggakan Baginda s.a.w. amat dipercayai dan disenangi oleh sesiapa sahaja. Apabila kita diyakini amanahnya, baik hatinya, jujur tindakan dan kata-kata, bagaimana agaknya penerimaan kita dikalangan orang yang kita bimbing? Sudah tentu, kita disenangi dan kata-kata kita mudah diterima oleh sesiapa yang mendengarnya, apatah lagi dari kalangan orang yang kita bimbing itu sendiri. Sekiranya kita diberi pilihan untuk bertemu dengan orang A, B dan C. Orang A sentiasa bermuka senyum, orang B pula sentiasa marah-marah dan orang C pula sentiasa bermuka masam. Siapakah orang yang paling mudah untuk kita rapati? Sudah tentu jawapan dan pilihan anda ialah orang A bukan?




Akhlak adalah jelmaan dari keikhlasan serta kefahaman yang baik terhadap kehidupan dan pegangan hidup, khususnya pegangan agama itu sendiri. Untuk mereka yang sentiasa berpegang dengan agama dan kepercayaan mereka, pasti akhlak akan menjadi tunjang dan penampilan yang amat baik. Islam meletakkan akhlak sebagai satu perkara utama selain dari aqidah dan syariah. Maka, ia perlu diutamakan, jika sudah menjadi fasilitator, tetapi akhlak belum juga terbentuk, maka berusahalah untuk terus memperbaikinya. Ambillah masa yang sesuai serta teruskanlah usaha itu. Inilah juga yang dikatakan usaha mengislahkan diri untuk menjadi lebih baik.




PERUBAHAN DAN PEMBAIKAN DIRI

Usaha untuk memperbaiki diri adalah tuntutan dan ciri-ciri ketiga yang perlu ada kepada seorang fasilitator. Ini disebabkan oleh faktor perubahan masa dan kehidupan persekitaran kita. Perubahan diri ini perlu berlaku berlandaskan ilmu dan pengetahuan. Proses penambahan dan percambahan ilmu ini perlu terus berlaku sama ada secara formal atau tidak formal. Pembacaan perlu menjadi keutamaan seorang fasilitator dan pembudayaan ilmu akan membantu fasilitator menguasai kelompok bimbingan mereka dengan lebih baik.



Isnin, 16 April 2012

ProKAM 3 (Laporan Bertulis)

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 ProKAM!

Rindu ProKAM 3 tak? Nah.... jom kita imbau kembali detik-detik berharga sepanjang Program Kecemerlangan Anak-anak Melaka 3 !

1. Kem Induksi

Tarikh : 16-18 Mac 2012
Tempat : Kompleks Belia dan Sukan Ayer Keroh
Sasaran : 46 orang fasilitator

Objektif utama Kem Induksi adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pasukan fasilitator sebelum memainkan peranan sebagai penggerak program-program utama ProKAM 3 iaitu Program Bersama Anak-anak Yatim (AY), Program Bersama Sekolah Tunas Bakti (STB) dan Program Harapan Lulus (HALUS).
Antara aktiviti-aktiviti utama sepanjang Kem Induksi adalah :

  • Perbincangan modul-modul Program AY, Program STB dan Program HALUS
  • Perbincangan idea-idea baru sebagai modul, energizer dan aktiviti-aktiviti untuk perancangan masa depan UPG
  • Lumba rakit di Tasik Ayer Keroh
  • Padamkan nyalaan lilin menggunakan tangan
  • UFO
  • Perkongsian tips dari Abang Dat (Encik Muhamad Haidhir Bin Yusof), sifu pasukan trainer UPG
  • Pendulum
  • Trust Fall
  • Role Play
Semangat berpasukan, keyakinan diri, dan kemantapan sosial, fizikal, intelektual, emosi dan rohaniah sebagai seorang fasilitator sememangnya teruji sepanjang kem ini. Jadi, tahniah dan syabas para fasilitator yang hadir ! Walaupun majoriti para fasilitator pada kali ini adalah orang baru, namun kalian telah menunjukkan potensi yang cemerlang ! :)



2. Program Bersama Anak-anak Yatim Darul Aitam

Tarikh : 23-25 Mac 2012
Tempat : Universiti Multimedia Kampus Melaka
Sasaran : 17 anak yatim dari Madrasah Darul Aitam, Telok Mas

Hari pertama

Adik-adik dari Madrasah Darul Aitam telah dijemput dengan bas rasmi MMU dan tiba di perkarangan kampus MMU Melaka pada jam 4 petang.

Selesai taklimat ringkas oleh komander kem (CC), sesi ice breaking dijalankan untuk mengikat tali kemesraan antara adik-adik dan pasukan fasilitator.

Seterusnya, adik-adik diperkenalkan dengan lagu tema program untuk menyemarakkan lagi semangat mereka iaitu Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk oleh Flava.
Seronok bila teringat nyanyian adik-adik,  lagi-lagi bila dapat mikrofon ! Hehe :)

Okay. Tidak lengkaplah program andainya tiada pengisian rohaniah, bukan? Maka program diteruskan dengan sesi bacaan Yasin selepas solat Maghrib berjemaah.
*Buat pengetahuan semua, kami mewajibkan adik-adik solat berjemaah agar memenuhi salah satu elemen dalam konsep ProKAM 3 iaitu ROHANIAH. :)

Selain itu, kami juga menerapkan elemen AKADEMIK melalui kelas Matematik.
Perlaksanaan modul akademik ini telah dijalankan mengikut tahap pembelajaran adik-adik yang berbeza umur.

Hari kedua.

Dimulakan dengan solat Subuh berjemaah, adik-adik kemudiannya melakukan aerobik dan pintu Doraemon yang dikendalikan oleh saudara Nazmi (atau lebih dan hanya dikenali sebagai Nazmehhh !) dan Faiz Muazan (Bob)! 
Terima kasih atas pengendalian senaman pagi yang menarik! :)

Selepas bersarapan bersama abang dan kakak angkat (fasilitator) masing-masing, adik-adik melakukan modul Menara Impian. Modul ini menguji kreativiti mereka kerana kami hanya menyediakan kertas A4 dan pen marker. Adik-adik ditugaskan untuk membina sebuah menara dengan menggunakan sumber-sumber yang ada.

Program diteruskan lagi dengan modul akademik sebaik sahaja adik-adik menunaikan solat Zuhur berjemaah dan makan tengahari. 

Slot waktu petang pula telah diisi dengan aktiviti riadah iaitu bola sepak di padang sekuriti MMU. 
Siapa sangka, adik-adik Darul Aitam jauh lebih hebat daripada abang-abang fasilitator? Haaa saiz badan bukan ukuran! :D

Program diteruskan. Seperti biasa, adik-adik telah solat Maghrib berjemaah dan pada kali ini kami telah menjemput En. Nurul Aizam Zaini a.k.a Abang Aizam (penasihat UPG) untuk memberi tazkirah Maghrib sementara menunggu solat Isyak.
Topik yang dikupas adalah berkenaan kepentingan menuntut ilmu.
Terima kasih Abang Aizam untuk slot pengisian yang sungguh bermanfaat ! :)


Ya, aktiviti selepas solat Isyak masih merangkumi aspek akademik, iaitu kelas Matematik.
Sementara adik-adik dan para fasilitator sibuk ber-Matematik, para komiti terutamanya tuan direktor (AMSYAR) dan kakitangannya berhempas pulas untuk membuat kejutan iaitu sambutan hari lahir kepada adik-adik yang lahir pada bulan Mac !
Alhamdulillah, agenda berjaya dilakukan dengan baik sekali. Rindunya suasana masa tu ! :')


Hari ketiga.


Untuk pengetahuan semua, selain ProKAM 3, Karnival Keluarga Bahagia (KKB) anjuran Institusi Usrah juga diadakan serentak dengan Program AY. 
Justeru, setelah solat Subuh dan bersarapan, adik-adik menyertai aerobik dan acara sukaneka yang dianjurkan oleh pihak KKB. 


Sesi riadah pagi diteruskan lagi dengan modul akademik.
Memandangkan ia hari terakhir Program AY, adik-adik dengan bimbingan para fasilitator bertungkus lumus untuk melengkapkan modul yang disediakan.


Sebaik sahaja modul akademik dilengkapkan, adik-adik makan tengahari dan bersiap-siap untuk ke majlis penutup KKB. Terima kasih para komiti KKB kerana sudi menjemput kami ! :)


Dan tahniah adik-adik Darul Aitam kerana berjaya membolot hadiah untuk acara sukaneka ! :D


Program Bersama Anak-anak Yatim diakhiri dengan sesi bergambar dan para fasilitator juga telah mengiringi adik-adik pulang ke Madrasah Darul Aitam di Telok Mas.



3. Program Bersama Sekolah Tunas Bakti

Tarikh : 30 & 31 Mac 2012
Tempat : Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, Klebang
Sasaran : 134 orang pelajar STB

Hari pertama.

Para fasilitator bertolak ke Sekolah Tunas Bakti tepat jam 2.45pm.

Sebagai pengenalan, setiap fasilitator yang terlibat memperkenalkan diri kepada adik-adik STB sebelum mereka dipecahkan kepada kumpulan.

Aktiviti pertama yang dijalankan ialah ice breaking.
Setiap kumpulan melakukan permainan seperti PingPong, Charging, dan Trademark agar para fasilitator dapat mengingati nama-nama ahli kumpulan masing-masing.
Ada lebih kurang 13 orang dalam satu kumpulan. Ramai oh !


Seterusnya, sesi Treasure Hunt.
Dalam sesi ini, setiap kumpulan yang terdiri daripada adik-adik STB perlu melengkapkan tugasan-tugasan yang diberikan pada setiap checkpoint.
Walaupun ada yang mengeluh kecewa kerana tidak dapat menghabiskan kesemua checkpoint, tapi alhamdulillah adik-adik berjaya membuat tugasan dengan begitu baik !
p/s: penulis diberitahu ada yang berjaya menyelesaikan float your boat dalam masa seminit ! :O

Selepas makan malam dan solat, program diteruskan dengan sesi perkongsian bersama Abang Aizam (penasihat UPG). Terima kasih Abang Aizam kerana telah memberi motvasi kepada adik-adik di STB !
Ya, asalkan mereka belajar bersungguh-sungguh, masih ada masa hadapan dan harapan untuk berjaya yang menanti :)

Aktiviti berikutnya ialah sesi ujian personaliti yang dikendalikan oleh Kaunselor MMU, Kak Mas.
Setiap pelajar STB telah diberi kertas soalan yang menentukan kecenderungan mereka.
Kak Mas kemudiannya menerangkan satu persatu kepada adik-adik, apa alternatif yang boleh mereka lakukan selepas mereka tamat tempoh penahanan.
Mengagumkan, adik-adik begitu aktif dan banyak bertanya kepada fasilitator dan Kak Mas soalan mengenai masa hadapan mereka. Semoga berjaya adik-adik !

Hari kedua.

Sesudah solat Subuh, slot senaman pagi dijalankan.
Ya, sangat hebat fasilitator Is dan rakan-rakan mengendalikan slot tersebut.
Tapi hebat lagi adik-adik STB yang mengambil alih slot selepas itu !
Lagu Lady Gaga pun boleh buat aerobik oi ! :D


Demi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Inggeris, kami menyediakan modul akademik untuk subjek Bahasa Inggeris untuk adik-adik.
Mereka diajar topik tenses dan subject-verb agreement. 
Alhamdulillah mereka cepat belajar dan sangat aktif lebih-lebih lagi apabila diberi gula-gula sebagai ganjaran!

Seterusnya, kami telah menjemput pihak Institut Kemahiran Industri Melaka (IKIM).
Penceramah telah menerangkan laluan untuk menyambung pelajaran ke IKIM.
Menurut penceramah tersebut, pemohon hanya perlu mempunyai sekurang-kurangnya sijil PMR atau SPM.
Pada dasarnya kursus yang disediakan IKIM ialah kejuruteraan.

Akhir sekali, sesi perkongsian.
Para fasilitator berkongsi pengalaman dan nasihat bersama-sama adik-adik berkenaan masa hadapan.
Satu fakta mengenai adik-adik STB. Mereka gemar menyanyi !
Mengikut pengalaman penulis sendiri, sedang sibuk saya "berceramah", ada permintaan.
"Kak jom nyanyi !" okay. 



Sebelum berangkat pulang ke kampus, kami sempat memberikan nasihat dan amanat ringkas buat adik-adik STB. Semoga mereka menjadi insan yang jauh lebih baik kelak. :)

Program berakhir pada jam 5 petang.


4. Program Harapan Lulus (HALUS)
Tarikh : 6-8 April 2012
Tempat : Universiti Multimedia Kampus Melaka
Sasaran : 100 orang pelajar dari daerah Jasin

Hari pertama.

Para pelajar dari sepuluh buah sekolah daerah Jasin telah dijemput ke kampus dengan bas rasmi MMU.
Setibanya di kampus, adik-adik HALUS mendaftar di kaunter dan seterusnya berkumpul di ITSD R001 untuk sesi pengenalan dan dibahagikan kepada kumpulan.

Selepas sesi ice breaking, adik-adik HALUS solat berjemaah, makan dan berkumpul di dewan untuk aktiviti mass energizer iaitu tikar terbang.
Dengar cerita, ada surat khabar yang terkoyak. LALALA~ :P

Sebaik sahaja ice breaking selesai, adik-adik dan para fasilitator berkongsi pengalaman dan kata-kata motivasi melalui sesi sharing moment sekaligus menamatkan aktiviti hari pertama.

Hari kedua.

Seawal jam 5.20 pagi adik-adik telah dikejutkan untuk berkumpul di masjid dan menunaikan solat Subuh berjemaah.

Pagi mereka diisi dengan aktiviti joging dari CLC Concourse ke gelanggang badminton.
Saudara Aizad dan Nazmi meneruskan slot dengan senamrobik, diikuti dengan aktiviti pendulum yang dikelolakan oleh Faiz Muazan (Bob).
Tak cukup ekstrem, Bob meneruskan slot dengan Trust Fall !
Tahniah kepada penerjun-penerjun ya ! Anda hebat ! HAHA

Program diteruskan dengan aktiviti Treasure Hunt.
Hebat sungguh adik-adik sebab berjaya melakukan tugasan-tugasan di samping perlu meminta barang amanah daripada fasilitator.
Multitasking :)

Tamat tempoh 2 jam yang diberikan, adik-adik berkumpul untuk mass energizer iaitu Hutan Terbakar.
Dengar cerita, ada yang kena denda menari tarian Hindustan. Kan? :P

Adik-adik berpecah ke dalam kumpulan masing-masing. Slot seterusnya, mereka perlu membina Menara Impian dengan menggunakan bahan-bahan yang diperoleh semasa Treasure Hunt.
Slot berlanjutan sehingga solat Maghrib.

Selesai solat Isyak, adik-adik beraksi untuk Malam Kebudayaan.
Seronok+Kelakar+Kagum dengan kreativiti adik-adik membuat persembahan.
Ada sketsa, ada nyanyian, dan macam-macam lagi !
Rasanya semua yang menonton paling tak boleh lupa aksi meniru gaya CC kan? HAHA

Malam kebudayaan menamatkan hari kedua HALUS :)

Hari ketiga.

Seperti biasa sebaik sahaja solat Subuh, adik-adik akan melakukan senaman pagi disusuli dengan sarapan.

Program kemudiannya diisi dengan slot ceramah motivasi "Aku Boleh Aku Hebat".
Semoga adik-adik lebih bersemangat untuk belajar dan masuk ke MMU. eh eh :)

Seterusnya, Sharing Moment.
Slot Sharing Moment pada kali ini sedikit berbeza kerana adik-adik perlu merangka garis masa berkaitan dengan perancangan masa hadapan mereka untuk jangka masa pendek dan panjang.

P/S : Lebih tepat lagi, HALUS diakhiri dengan permainan BISKUT (share your love). HOHO :P

HALUS tamat pada jam 12 tengahari dan ProKAM 3 diteruskan dengan acara kemuncak !


5. Majlis Penutup Program Kecemerlangan 
Anak-anak Melaka 3 


Majlis dimulakan dengan persembahan hebat Kumpulan Pancaragam Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh yang mengiringi VVIP jemputan, Encik Mohd Isa bin Jolan, Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling dari Jabatan Pelajaran Melaka.

Secara ringkas, berikut adalah agenda Majlis Penutup ProKAM 3 :

  • Bacaan doa pembuka majlis
  • Ucapan oleh Pengarah ProKAM 3, Cik Debra Allison Beaty
  • Ucapan oleh Pengarah Kanan STAD, Tuan Haji Zamzuri bin Abdul Majid
  • Tayangan montaj
  • Ucapan oleh Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling dari Jabatan Pelajaran Melaka,  Encik Mohd Isa bin Jolan
  • Penyampaian hamper dan sijil penyertaan kepada para peserta ProKAM 3
  • Penyampaian tanda penghargaan kepada  Encik Mohd Isa bin Jolan
  • Sesi bergambar
  • Jamuan
  • Bersurai

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana ProKAM 3 telah dilaksanakan dengan jayanya.

Terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Melaka, pihak STAD/SSC/FMD, senior-senior UPG, pihak penaja, adik-adik yang telah menyertai dan pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kerjasama dan sokongan padu yang kalian berikan semenjak hari pertama persediaan sehinggalah ke Majlis Penutup ProKAM 3.

Tahniah dan terima kasih juga kepada para komiti dan pasukan fasilitator yang telah berusaha keras untuk mencapai objektif utama ProKAM 3 iaitu memberi kesedaran kepada kumpulan sasaran mengenai kepentingan ilmu yang sebenarnya.

Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dariNya. InsyaAllah. :)

P/S : Si penulis ingin mohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki andai ada cacat cela dan kesalahan tatabahasa dalam penulisan. Terima kasih kepada sumber-sumber sahih yang membantu dalam bahan pengisian. Bahasa jiwa bangsa. Assalamualaikum dan semoga berjumpa lagi (;


Nurul Syafiqah Roslan
Setiausaha Program
Program Kecemerlangan Anak-Anak Melaka 3
University Peers Group 2011/2012



Selasa, 10 April 2012

Knowledge Sharing: Pengurusan Program 1

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera.

Masa berlalu, saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, hari berganti bulan, blog ini terpaksa dibiarkan sepi. Difahami kerana kesibukan para pejuang masyarakat dalam menjalankan usaha kebajikan. Kebajikan kepada masyarakat dan kebajikan kepada diri sendiri. Semoga Allah memberkati setiap usaha perjuangan yang diletakkan.

Mulai entri ini, saya (dan mungkin sahabat-sahabat lain) akan mencuba sebaiknya untuk menulis perkongsian bermanfaat di blog ini. Usaha ini dilakukan atas beberapa faktor. Antaranya, 

  1. Seperti hadis yang berbunyi, 'manusia yang baik ialah yang memberi manfaat kepada yang lain'.
  2. Agar UPG (dan mana-mana kelab lain) terus bangkit dan mantap di landasan kerja yang betul.
  3. Agar ilmu dan pengalaman yang dimiliki tidak hilang tanpa sempat dikongsikan.
  4. Atas dasar tanggungjawab. Semoga ilmu yang terus terusan dikongsikan dapat menjadi saham akhirat untuk kita semua.

Kenapa perlu ber-program??

Sebelum bergerak lebih jauh, eloklah dikupas dahulu tentang, apa perlunya kita berprogram di Universiti?  Besar sangatkah manfaatnya? Menjamin masa depankah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan bersifat subjektif begini hanya dapat diketahui apabila kita tamat belajar dan ketika kita dalam usaha 'menjual diri' kepada syarikat-syarikat hebat untuk mengambil kita sebagai pekerja mereka. Saat itu baru kita sedar, 'oh, good results on paper is not sufficient to guarantee a good seat/position for me in the working world'

Namun, sebelum menjejaki alam pekerjaan juga kita perlu sedar bahawa kemahiran inter-personal adalah sangat penting dan sangat mahal untuk dimiliki oleh seseorang graduan yang hidup di dalam persaingan yang sangat hebat hari ini. Maka, jangan dipandang remeh tentang keperluan melibatkan diri dalam program dan aktiviti-aktiviti di luar empat penjuru kelas. 

Berprogram akan:
  • mengajar kita menjadi peka kepada persekitaran;
  • menambahkan kenalan (daripada kalangan pelajar sehinggalah pemimpin negeri/negara);
  • meningkatkan tahap/skill komunikasi;
  • meningkatkan tahap keyakinan diri;
  • menjadikan kita lebih bijak daripada yang lain;
  • menjadikan tahun-tahun pengajian di Universiti lebih bermakna dan awesome;
  • menjadi asbab bertemunya jodoh (hehehe)
Berprogram, jika tidak dikawal sebaiknya akan menyebabkan:
  • sesat jalan;
  • terpengaruh dengan rakan-rakan yang lupa daratan;
  • obses dengan ke-glamour-an;
  • selalu skip kelas atas alasan 'kepenatan';
  • jadi bahan kutukan orang ramai
Namun, apa yang boleh saya katakan, impak-impak positif di atas boleh/akan didapati oleh semua orang. Manakala impak-impak negatif yang di atas pula hanya boleh didapati oleh orang yang kurang bijak menguruskan hidup sendiri. Maka, berprogramlah dengan bijak! 

Entri ini sengaja saya tulis secara 'leisure' kerana ini hanyalah sebagai introduction kepada perkongsian-perkongsian yang sebenar. Saya masih menyusun/merangka bagaimana perkongsian tentang pengurusan program di blog ini dapat disampaikan dengan baik. 

Setakat ini, apa yang terlintas di fikiran adalah untuk menyentuh tentang peranan setiap individu di dalam sesebuah program/organisasi. Sebab kita jelas dengan masalah kita hari ini ialah ramai dari kalangan kita yang apabila menerima sesebuah tugasan atau tanggungjawab, kita ambil pendekatan 'redah saja!' instead of cuba untuk faham dan khatamkan apakah peranan kita di dalam sesebuah posisi itu sebenarnya. Dan natijahnya ialah masalah demi masalah timbul sehingga mewujudkan spekulasi demi spekulasi yang kesannya bukan hanya pada diri sendiri, tetapi kepada program keseluruhannya, organisasi, atau lebih teruk lagi nama MMU sendiri tercalar. Jadi, pokok pangkal sesuatu perjalanan di dalam arena berprogram ini ialah, 'Faham akan peranan KITA!'.

Setakat ini dulu. Perkongsian sebenar akan disediakan dalam masa terdekat. Semoga kejayaan menjadi milik kita semua berkat usaha berkebajikan yang tidak pernah kenal erti penat. Wassalam

"Ini DAKWAH cara KITA" & "To Unite, To Develop, To Give"

Oleh:
Fateen Najlaa Idayu
Mantan Presiden UPG 2009/2010'
Ijazah Sarjanah Muda Undang-undang 
MMU Melaka

Featured Post

Knowledge Sharing: Menguruskan Sponsorship